Saturday, May 31, 2008

Perebutan Kuasa di Palestin – Hati-hati Peranan Musuh Islam


Perebutan Kuasa di Palestin – Hati-hati Peranan Musuh Islam (Surat Terbuka untuk Duta Palestin ke Malaysia)

Oleh M Saidy Ismail

Saya mengikuti perkembangan yang berlaku di Tebing Barat dan Semanjung Gaza termasuk oleh akhbar tuan dengan perasaan bercampur baur; antara sedih, kecewa, bergantung harap dan bersemangat.

Pada saya setiap detik dan peristiwa yang akan berlaku selepas ini akan menetukan siapakah yang benar-benar teguh dan ikhlas dalam perjuangan menegakkan Islam dan ummahnya teramasuk menyelamatkan bumi Palestin, bumi para ambiya’.

Jika tidak sekarang, generasi akan datang akan membezakan pejuang Islam yang sebenar daripada pejuang kepentingan peribadi atau kemegahan dunia sahaja.

Sebelum saya meneruskan isu ini, saya suka menyelitkan beberapa permerhatian saya terhadap apa yang saya lihat di tanah suci Mekah tatkala saya menunaikan umrah dan ziarah pada musim cuti sekolah bulan Mei dan Jun yang lalu. Nampaknya pengaruh Amerika Syarikat dan jenama produknya telah memasuki ke seluruh umat Islam hatta ke pintu Masjidil Haram di Mekah. Di keliling masjid suci tersebut, anda akan menemui Hotel Sheraton dan Hotel Hilton serta menara-menaranya. Di sebelah Masjid Nabawi pula akan anda akan menemui Marriot Madinah dan Hilton Madinah.

Tanpa prasangka, saya suka bertanya (termasuk pihak berkenaan di sana) tidak adakah sumber dan kepakaran di kalangan ummah untuk mendirikan hotel bertaraf demikian? Mengapakah kita sendiri yang meluaskan jenama dan pengaruh Amerika? Ada orang mungkin berkata, hotel-hotel tersebut milik orang Islam.

Namun, Marriot, Hilton dan Sheraton, KFC dan Mc Donald jikapun dibina dengan konsep francais dengan pemilikan oleh kerajaan atau umat Islam tetapi syarikat multinasional pemilik jenama tersebut akan mengenakan bayaran francais dan bayaran penggunaan jenama mereka. Bagaimana pula dengan pengeksportan budaya dan nilai mereka?

Ketika singgah di Amman, saya sempat mengunjungi Laut Mati yang telah dibukti oleh ramai sarjana sains bahawa di situlah tempat di mana Allah menenggelamkan kaum Nabi Lut dengan dibalikkan bumi ini sehingga tertimbus kaum yang mengengkari ajaran Allah. Inilah kaum yang mengamalkan seks sesama lelaki. Perkara ini adalah seperti mana yang disebutkan dalam al-Quran.

Tetapi jika anda ke sana anda akan melihat hotel Marriot dibangunkan siap dengan khidmat SPA untuk para pelancong. Bukanlah salah membangun kemudahan untuk pengunjung. Tetapi di mana tempat Allah menghancurkan manusia dengan ditimpa bencana, selayaknya tempat itu diziarahi untuk mengambil pengajaran dan berasa insaf bukan tempat untuk bergembira dan bersuka ria. Jauh sekali untuk membenarkan pengaruh asing dan budaya mereka bertapak di tempat sedemikian.

Kembali kepada isu Palestin, setelah Presiden Mahmud Abbas melantikan Perdana Menteri yang baru dan menyingkirkan Hamas, tiba-tiba saja barat dan Israel menyatakan sokongan mereka. Sekatan ekonomi akan ditarik balik. Siapakah sebenarnya Fatah dan Presiden Mahmud Abbas dan apakah perhubungan sebenar mereka dengan pengaruh asing?

Kesatuan Eropah yang sebelum ini melakukan embargo kepada rakyat dan pemerintah Palestin setelah Hamas menang pilihanraya lawal tahun lalu. Namun, selepas pembentukan pemerintahan baru versi Abbas yang tidak sah ini, Kesatuan Eropah terus memberikan sokongan dana meskipun tindakan itu tidak mengikut perlembagaan dan tidak mendapat persetujuan parlimen Palestin yang sah.

Mungkin ada orang berkata, menuduh parti yang di sokong oleh Amerika dan Israel sebagai pengkhianat Islam adalah tuduhan simplistik. Sesungguhnya umat Islam mempunyai sejarah yang panjang tentang pengkhianatan regim zionis Israel dan permusuhan terhadap Islam yang dilancarkan oleh Regim Bush.

Umat Islam perlu berhati-hati dan tidak seharusnya menjadi tali barut kepada musuh untuk merosakkan ummah dari dalam.

Presiden Mahmud Abbas telah melanggar Perlembagaan Palestin Fasal 65 dan 66 yang tidak membenarkannya menggantikan Perdana Menteri yang dilantik secara lsah kecuali setelah Perdana Menteri itu gagal membentuk kabinetnya dalam tempoh tertentu kerana tidak mendapat sokongan majoriti. Dan, dalam tersebut Perdana Menteri hendaklah meminta parlimen mengadakan sidang untuk pungutan suara Pungutan suara ini dilakukan untuk menentukan sama ada perdana menteri dan kabinetnya kekal. Kesemua fasal jelas dilanggar oleh Mahmud Abbas.

Sebaliknya, Mahmud Abas membubarkan kerajaan pimpinan Hamas dan menggantikannya dengan kerajaan Fatah. Keikhlasan Hamas ialah ia masih mengiktiraf Mahmud Abas sebagai Presiden tetapi menolak keputusannya membentuk kerajaan Fatah kerana ia tidak sah menurut perlembagaan dan merupakan satu rampasan kuasa.

Apa yang berlaku sekarang adalah pertentangan antara Fatah yang ingin membentuk Palestin mengikut acuan Israel dan Amerika sedangkan mereka tidak mendapat sokongan rakyat berbanding dengan Hamas yang memperjuangkan pembebasan Palestin daripada pendudukan Israel serta mendapat sokongan rakyat terbanyak.

Pilihan Hamas itu adalah pilihan asal rakyat Palestin sejak 60 tahun lalu. Malahan itulah yang Fatah perjuangkan dulu termasuk pada zaman Arafat. Oleh kerana perjuangan ini memang penuh dengan ujian, dunia Arab serta Fatah (sejak pimpinan Arafat lagi) telah patah semangat dan mengubah perjuangan untuk mewujudkan Palestin dengan mengiktiraf kewujudan negara Israel. Dengan sepucuk surat daripada Arafat yang mengiktiraf Israel maka Palestin diwujudkan dan mempunyai tempat di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Inilah idea dan kompromi tajaan Barat.

Namun, sesungguhnya peringatan al-Quran tentang angkara dan tipu muslihat kaum Yahudi yang memusuhi orang-orang beriman adalah benar. Setelelah Palestin ditubuhkan, hari-hari Palestin diceroboh hingga nyawa Arafat sendiri hari-hari diintip oleh mereka. Palestin yang aman tidak juga wujud dan penduduknya hampir setiap hari ditembak.

Hamas tidak percaya kaedah itu dan tetap teguh dengan perjuangan asal, iaitu Palestin hanya boleh dibebaskan dengan perjuangan dan kesedaran rakyat. Kepada pemuda dan ulama Hamas, mati berperang adalah lebih mulia demi mempertahankan Islam, umat dan bumi Palestin.

Melalui insiden terbaru ini, umat Islam di Malaysia dan di mana-mana pun boleh membuat perhitungan siapakah yang menjadi dalang yang merosakkan kerajaan Hamas yang dipilih oleh rakyat sendiri. Sikap tidak senang Fatah di atas kemenangan Hamas malahan sanggup menyokong sekatan ekonomi oleh Barat terhadap saudara mereka sendiri adalah sikap amat menjijikkan.

Malahan, tatkala pemimpinan Hamas keluar mendapatkan sumbangan dana daripada negara umat Islam yang bersimpati dan membawa balik dana ke negara mereka, pemimpinan Hamas dan petugas mereka ditahan oleh tentera-tentera Fatah walhal wang tersebut adalah juga untuk membayar gaji tentera-tentera tersebut.

Insiden yang berlaku melengkapkan lagi teori penanan Israel dan talibarutnya untuk melemahkan umat dan memadam usaha untuk mengembalikan kegemilangan Palestin dan umat Islam.

Entah apa yang dijanjikan Amerika kepada Fatah. Hakikatnya telah lebih seminggu Fatah dan Hamas berperang. Tentera Fatah telah menyerang kediaman Perdana Mentera Ismail Hanayah sehingga binasa meskipun keluarga beliau terselamat.

Fatah menguasai Tebing Barat dan Hamas menguasai Gaza dan menguasai pejabat dan kediaman Presiden. Palestin yang dicadangkan telah terbahagi dua.

Mungkinkah dalam saat ini Fatah dan dunia Arab mahukan Israel membebaskan Gaza untuk menguatkan lagi Fatah atau Israel akan memulakan strategi mencerobohnya. Memang kelihatan Fatah seperti memusuhi Israel tetapi hakikatnya parti ini berunding dengan Israel. Hamas pula bermusuh dengan Israel tetapi tidak berunding dengannya.

Dalam keadaan ini, pada saya Hamas wajar bersikap tegas terhadap musuh dalam selimutnya, yang mempunyai perundingan dengan musuh Islam yang ingin mengkhinati perjuangan rakyat Palestin dan umat Islam.

Umat Islam tidak memusuhi manusia lain hanya kerana mereka memilih untuk menganut agama lain. Sebagai bukti, tatkala Baitulmaqdis berada ditangan pemimpin Islam sama ada pada zaman Khalifah Omar atau zaman Salehuddin al-Ayubi, tanah suci untuk adalah tempat tinggal yang aman dan sejahtera kepada tiga penganut agama iaitu Islam, Nasrani dan Yahudi di bawah keadilan pentadbiran Islam.

Namun umat Islam akan berhati-hati dengan manusia yang memusuhinya dan akan bertindak kepada orang yang memerangi atau mengusir umat dan mencabuli hak mereka. Inilah yang berlaku di Palestin.

MSI, 2007

No comments: