Friday, May 30, 2008

Lima Tanggungjawab Pemimpin Pelajar


Oleh Mohamad Saidy Ismail

Hanya Mereka yang Mampu…

Keadaan sosial kini bukan lagi masalah biasa tetapi sudah menjadi seperti bencana yang datang merempuh. Ternyata hidup remaja hari ini di kelilingi banyak cabaran dan pengaruh buruk yang boleh menarik dan merosakkan mereka. Hanya mereka yang mampu dan benar-benar bersedia dapat menangkis bencana sosial ini. Mereka inilah yang akan bangun untuk memimpin diri dan kawan-kawan sehingga berjaya membentuk generasi muda yang memiliki iman dan ilmu serta bermanfaat kepada orang lain.

Berikut adalah lima tanggungjawab penting sebagai peringatan kepada pemimpin pelajar atau remaja. Yang dimaksudkan pemimpin di sini bukanlah hanya Presiden atau ketua organisasi atau persatuan pelajar tetapi semua pelajar dan remaja yang melaksanakan tanggungjawab memimpin dan menggerakkan orang lain untuk membuat kebaikan kerana Allah melalui berbagai aktiviti dan kegiatan yang dianjurkan untuk membangunkan semula ummah.


1. Memiliki Azam atau Cita-cita yang Tinggi

Setiap pelajar muslim mesti berazam untuk menjadi pemimpin dan petadbir (khalifah) di dunia ini bukan sekadar pengikut atau pak turut kepada penganut agama lain, pengikut barat atau pun pengikut kepada orang jahil.

‘Dan apabila Allah berkata kepada malaikat, “Sesungguhnya Aku akan jadikan di muka bumi seorang khalifah” (Al-Baqarah: 30).

Sebagai khalifah kita diamanahkan untuk mentadbir dan memakmur bumi ini berdasarkan Islam dan kerana Allah s.w.t.


2. Melaksanakan Ibadah kepada Allah Tanpa Jemu dan Berputus Asa

Setiap pelajar muslim tidak boleh meninggalkan ibadah kepada Allah walau dalam keadaan apa sekali pun malahan mesti sentiasa melakukannya dengan istiqamah tanpa rasa jemu dan penat kerana kita diciptakan oleh Allah tidak lain kerana untuk beribadah kepada-Nya.

“Dan tidak aku menjadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku (Az-Zariyat: 56)

Ibadah pula merangkumi ibadah khusus seperti solat dan berpuasa dan ibadah umum. Ibadah umum bermaksud semua perbuatan yang dibuat kerana Allah dan menurut syariat Allah. Semuanya akan membawa pahala dan ganjaran di sisi Allah jua.


3. Sentiasa Berusaha Mempertingkatkan Iman

Iman tidak akan ditemui di tepi pantai atau tidak boleh diwarisi oleh ayah yang bertakwa. Tetapi iman mesti dipupuk dan dibajai oleh orang dengan aktiviti seperti memperbanyakkan ibadah, membaca Quran dan memahami maknanya, berbuat bakti, menuntut ilmu, menghadiri majlis iman, berpuasa sunat dan qiamullail dan berbagai lagi amal yang menyubur iman.

Inilah kekuatan sebenar yang diperlukan oleh remaja hari ini untuk menjadi dinding kepada sebarang godaan dunia yang merosakkan. Hanya pemuda yang memiliki iman dan rohani yang kuat akan menjadi pemuda yang berjiwa kuat dan mantap menghadapi setiap cabaran dunia.


4. Berbaik Baik dan Mengajak Orang Lain Membuat Kebaikan

Pelajar Muslim seharusnya uga terlibat dalam membuat kebaikan dan mengajak orang lain berbuat baik. Inilah maksud sebenar intisari Islam dan inilah dakwah. Dakwah yang terbaik ialah mengajak orang lain beriman dan melaksana perintah Allah dan menasihati orang lain meninggalkan larangan Allah.

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang-orang yang menyeru kepada Allah dan seraya melaksanakan amal yang salih dan berkata, “Sesungguhnya aku termasuk di dalam golongan orang-orang Muslim”. (Fussilat: 33)

Pelajar Muslim mestilah tidak boleh terpengaruh atau terikut-ikut dengan kawan-kawan yang terlibat dalam perkara yang buruk seperti merokok, bergaul bebas atau meninggalkan rumah tanpa izin ibu bapa.

Namun pelajar Muslim tidak boleh sengaja membiarkan terus kawan-kawan yang telah melencung, kerana kerosakan akan menjadi bertambah besar dan kita ahli masyarakat lambat laung akan turut binasa. Oleh itu, berusahalah menasihati dengan baik kawan-kawan yang telah tersalah jalan.

Jika kita membiarkan penumpang kapal menebok lubang kapal untuk mengambil air, lambat laun kapal akan tenggelam dan memusnahkan kita yang berdiam diri.


5. Jadilah Pelajar yang Cemerlang dalam Pelajaran

Sebagai pelajar Muslim, kita tidak ada pilihan melainkan mesti cemerlang untuk membuktikan bahawa Islam benar-benar membawa rahmat. Oleh itu, pelajar Muslim mesti belajar bersungguh-sungguh mencapai cita-cita peribadi dan cita-cita ibu bapa dan akhirnya menjadi contoh kepada penduduk dunia bahawa orang Islam sememangnya khalifah.

Selain dalam pelajaran, kita mesti berjaya dari segi kepemimpinan dan akhlak agar kita boleh menggerakkan orang lain dan menjadi contoh peribadi yang terpuji.

Semoga kita berjaya menegakkan diri, keluarga dan masyarakat yang sejahtera dan berjaya seraya dirahmati, diberkati dan diampuni Allah. Namun, cita-cita ini tidak mungkin tercapai kalau amal kita kecil, pengorbanan kita sedikit dan wawasan kita singkat.

Oleh kita mestilah mempunyai azam yang tinggi, ibadah yang berterusan, iman yang tinggi, amal kebaikan yang banyak dan pelajaran yang berjaya.

No comments: