Saturday, May 31, 2008

Islam dan Dakwah Tidak Dapat Dipisahkan

Islam dan Dakwah Tidak Dapat Dipisahkan

Oleh Mohamad Saidy Ismail

Cyberjaya University College of Medical Sciences

1.0 Pengertian Islam

Pengertian Islam dijelaskan oleh Allah s.w.t dalam firman-Nya dalam surah an-Nisa’, ayat 125)

“Dan siapakah yang lebih baik diinya dari orang yang menyerahkan

wajahnya (dirinya) kepada Allah, sedangkan dia berbuat ihsan dan

mengikuti din Ibrahim dengan hanya cenderung kepada Allah”.

Berpandukan kepada ayat ini (Abu `Urwah, 1988), maka Islam dapat diberi pengertian sebagai: “Penyerahan diri kepada Allah dengan penuh keikhlasan hati”. Bahkan inilah intipati dan keseluruhan makna Islam.

Islam dengan pengertian induk ini tidak hanya dikhususkan kepada manusia tetapi jua merangkumi segala kejadian di alam semerta seperti yang dijelaskan oleh al-Quran:

“Apakah selain dari din Allah yang mereka masih mencari-cari

sedangkan segala yang dilangit dan dibumi telah Islam (menyerah

diri) kepada-Nya dengan kerelaan hati dan terpaksa. Dan kepada-

Nya mereka akan dikembalikan”. (Ali-`Imran, 83)

Firman Allah lagi:

“Dan kepada Allah sujud segala yang dilangit dan dibumi

dengan kerelaan hati dan terpaksa, dan juga baying-bayang

mereka pada setiap pagi dan petang.” (Ar-Ra`d, 15)

Dari kedua-dua ayat di atas maka dapatlah disimpulkan bahawa pengertian Islam itu tersimpul pula dalam penyerahan diri kepada Allah. Penyerahan yang setepat-tepatnya di antara hubungan manusia dengan Penciptanya ialah sujud kepada Allah dengan penuh kepatuhan dan ketundukan. Oleh itu, jelas sekali di antara ketiga-tiga; ad-din, Islam dan sujud mempunyai kaitan dan jalinan makna yang erat dan tabi i.

Penyerahan diri ini tidak hanya terbatas kepada gerak laku anggota zahir sahaja tetapi juga merangkumi `amalan batin. Ini bererti penyerahan ini merangkumi jasmani dan ruhani, `aqal dan perasaan atau jiwa dan hati kepada Allah. Penyerahan ini tidak terbatas kepada sudut-sudut tertentu sahaja tetapi merangkumi segala ruang lingkup kehidupan manusia.

Ringkasnya penyerahan diri kepada Allah di sini merangkumi penyerahan diri kepada Allah dalam bidang `aqidah, `ibadah, akhlak dan akhirnya syari’at.

2.0 Islam dan Dasar Hidup Islam

Bagi menjelaskan peranan dan tujuan hidup manusia dalam konteks penyerahan diri di atas, Islam telah menggariskan beberapa dasar hidup yang dapat difahami seperti berikut:

2.1. Pencipta. Allah adalah Pencipta, Penguasa dan Pemilik `alam ini. Allah telah mencipta manusia dan menyediakanya tempat tinggal sementara di muka bumi. Allah telah mengurniakan `aqal kepada manusia untuk berfikir dan kemampuan untuk membezakan yang haq dan yang batil. Manusia diberikan kebebasan untuk berikhtiar dan memilih malahan kuasa untuk menggunakan sumber menurut cara yang disukainya.

2.2. Khalifah. Manusia telah ditugaskan untuk menjadi khalifah Allah (pentadbir dan pemakmur) di muka bumi. Oleh itu ia dituntut untuk beriman dan patuh kepada segala perintah dan peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh-Nya. Dengan `aqal, daya ikhtiar dan kemampuan memilih manusia bebas sama ada untuk beriman atau kufur kepada Allah. Tetapi Allah mengingatkan manusia bahawa tempat manusia di bumi ini tidak kekal. Bumi ini hanya tempat persediaan sahaja!

2.3. Para Ambiya’ Untuk membolehkan manusia melaksanakan tugasnya, maka Allah mengutuskan kepada manusia para rasul dan nabi-nabi beserta syari`at dan kitab-kitab sebagai panduan dan bimbingan hidup mereka. Rasulullah (s.a.w) adalah rasul yang terakhir, membawa syari`at dan kitab terakhir bagi panduan seluruh manusia hingga akhir zaman.

2.4. Dakwah. Manusia diperintahkan beriman kepada Rasulullah s.a.w. Ia dituntut untuk menyebarkan risalah Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w . Manusia yang beriman ditugaskan untuk menyeru manusia-manusia yang telah terseleweng untuk kembali kepada jalan yang benar. Manusia juga dituntut agar membina diri dan membangunkan seluruh masyarakatnya menurut ajaran yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

2.5. Kematian. Apabila tiba masanya manusia akan mati. Selepas itu, tiba masanya, seluruh `ala mini akan dibinasakan oleh Allah. Sebaik sahaja manausia dibangkitkan semula, manusia akan dikumpulkan untuk dihisab. Pada hari itu tahulah manusia tempat kediamannya yang sebenar di Akhirat.

Jelaslah, Islam telah meletakkan garis panduan yang tersusun rapid dan menetapkan hubungan yang jelas di antara manusia dan Penciptanya.



3. 0 Dakwah – Perintah Allah untuk Setiap Muslim

Dakwah adalah satu perintah daripada Allah dan melakukan tugas ini adalah satu kemuliaan berdasarkan ayat dalam surah Fussilat: 33:

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang-orang

yang menyeru kepada jalan Allah seraya melaksanakan amal yang

salih dan berkata, “sesungguhnya aku termasuk di dalam golongan

orang-orang Muslim”.

Allah juga mengumumkan kedudukan umat Muhammad sebagai “khairun ummah” kerana mereka melakukan dakwah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah yang mungkar sebagaimana firman Allah dalam surah Ali-`Imran, ayat 110:

“Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dilahirkan bagi manusia

(kerana) kamu menyeru kepada kebaikan dan melarang dari mungkar

serta beriman kepada Allah…”

Berdasarkan nas-nas di atas ternyata dakwah adalah perintah dan bersama perintah ini datangnya kemuliaan untuk manusia itu sendiri.

4.0 Masyarakat kita Tenat

Realiti semasa menunjukkan masyarakat kita semakin rosak dan peranan pendakwah untuk merobah keadaan ini amat penting. Terlalu banyak statistik yang kita miliki untuk membuktikannya. Sebagai contoh, Faidzul Fahmi bin Isnan (pelajar Diploma Psikologi, Kolej Jaiputra, 2003) menyoal selidik 80 orang remaja bujang berumur 11 hingga 25 tahun yang sedang melepak di bandar Kota Bharu.

Daripada jumlah tersebut, seramai 14 orang telah mengakui pernah melakukan hubungan seks dengan pasangan mereka. Seramai 22 orang pula mengakui memiliki kawan yang pernah melakukan perhubungan seks sebelum nikah.

Di sekolah, di IPT dan dimana-mana, pergaulan bebas, bersekedudukan, meninggalkan kewajipan solat, berpakaian menjolok, menganuti fahaman asing seperti black metal dll telah menjadi fenomena. Siapakah yang akan membendung gejala ini semua?

5.0 Kehancuran Jika Melupakan Dakwah

Allah menggambarkan kemurkaan dan balasan yang berat bagi mereka yang meninggalkan dakwah seperti mana dalam surah al-A`raf ayat 165.

“Dan ketika mereka melupakan apa yang telah diperingatkan

kepada mereka, maka kami selamatkan orang-orang yang menegah

kemungkaran dan Kami timpakan azab yang amat pedih ke atas

orang-orang zalim di atas kefasikan yang mereka lakukan”

Malahan, tidak cukup menjadi orang yang salih sahaja sedang masyarakat berleluasa dengan kemungkaran. Berdasarkan satu hadith riwayat Muslim, Zainab binti Jahsy telah bertanya, “Ya Rasulullah adakah kita akan Allah hancurkan sedangkan bersama kita masih ada orang-orang yang salih?” Jawab baginda, “Ya, apabila berleluasa kekejian”.

6.0 Dakwah yang Berkesan

Apakah pendekatan dakwah yang paling sesuai untuk golongan remaja?

Secara umum, pendekatan dakwah yang terbaik untuk sesiapa pun ialah dengan secara hikmah dan memberi nasihat yang baik. Allah berfirman dalan surah An-Nahl ayat 125:

“Serulah ke jalan Tuhanmu secara hikmah dan dengan nasihat

yang baik. Dan, bantahlah dengan mereka ssecara yang lebih baik”.

Imam Al-Qurtubi menyatakan ayat ini merupakan perintah untuk menyeru manusia kepada agama dan syariat Allah dengan lemah lembut tanpa kebengisan. Hikmah dalam ayat di atas ditafsir oleh mufassirin sebagai hujah yang jelas, mantap dan pendekatan yang bermanfaat dan menyakinkan.

Sementara nasihat yang baik pula bermaksud peringatan yang dapat melembutkan hati. Pendekatan memberi nasihat ini adalah roh bagi ad-din itu sendiri kerana “agama itu adalah nasihat” seperti mana maksud satu hadith.

Dakwah yang berkesan juga seharusnya dilaksanakan secara berjamaah yang teratur kerana itulah sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah; melaluinya akan mencapai keberkatan daripada Allah selain memperolehi kekuatan hasil satu susunan yang kukuh.

7.0 Persiapan Menjadi Pendakwah

Pendakwah tidak lahir secara kebetulan melainkan mereka mestilah disiapkan melalui proses tarbiyyah. Tarbiyyah membawa makna proses untuk menyemai dan memupuk benih bagailah si petani memupuk dan menjaga benihnya agar tumbuh segar menjadi sepohon pokok yang brbuah.

Begitu juga tarbiyyah - proses membaja dan memupuk ilmu, iman, roh, fikrah dan amal mereka sehingga benar-benar mantap. Aktiviti seperti usrah, diskusi ilmu (daurah), qiamullail, zikirullah, tilawatul Quran, puasa sunat dan riadhah adalah bagaikan baja dan siraman air untuk benih tarbiyyah. Para pendakwah yang melalui proses ini akan mencapai kekuatan dan kemampuan. Tarbiyyahlah yang akan menentukan kelansungan dan kejayaan dakwah.

Abu Bakar as-Siddiq telah berpesan kepada panglima-panglima Islam, “perbaikilah dirimu, nescaya orang lain akan memperbaikkan hubungan denganmu”. As-Syeikh Mustafa Masyhur menyebut: “Mulakan dakwah dengan dirimu, kemudian serulah yang lain”.

Oleh yang demikian, setiap Muslim harus memberikan masa, tenaga dan perngorbanan untuk membina persiapan ini buat bekalan dalam perjuangan dakwah.

Tidaklah tepat anggapan yang mengatakan bahawa kita seharunya membuat persiapan terlebih dahulu dan hanya boleh boleh berdakwah setelah terdapat persiapan yang cukup. Sesungguhnya, persiapan dan perjuangan adalah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Tatkala kita membuat persiapan terdapat banyak perkara amal dakwah yang boleh kita lakukan dengan kemampuan yang kita ada. Dan berbuat demikian kita juga memantapkan lagi persiapan.

Begitu juga sebaliknya, tatkala kita berjuang, kita hendaklah sentiasa merasai dirinya tidak sempurna sentiasa bertaubat kepada Allah, memohon petunjuk dan berusaha menyucikan jiwa dengan amal ibadah yang berterusan – persiapan yang tidak ada pengakhiran demi mencari kekuatan sepanjang perjuangan. Andai kita merasai sudah sempurna, tatkala itulah kita mungkin melakukan dosa.

8.0 Penutup

Demikian perbincangan kita tentang Islam dan dakwah khasnya untuk generasi muda. Kita tidak ada pilihan kerana kemuliaan kita di sisi Allah terletak pada Islam yang kita yakini dan jalan dakwah yang kita pilih. Meninggalkannya bermakna meninggalkan kemuliaan. Semoga Allah memberi petunjuk-Nya dalam setiap urusan kita. Semoga Allah merahmati dan memberkati usaha kita. Amin.

____________

Rujukan:

  1. Al Quran Karim.
  2. Abu `Urwah, 1988. Risalah Usrah Jilid 1: Konsep-konsep Umum Islam, Pustaka Salam.
  3. Dr Danial Zainal Abidin, 1995. “Kemahiran Nuqaba dan Naqibat” dalam Bimbingan Tarbiyyah JIM, September, Oktober dan November 1995.
  4. PERGAS, 2004. “Kesederhanaan Dalam Islam (Dalam Konteks Masyarakat Islam Singapura)”. PERGAS Singapura.

(Dibentangkan dalam Program Fikir-fikir Remaja Cemerlang (PROFERA2007) anjuran Kelab Remaja JIM Kelantan; pada 15 dan 16 Februari 2007).

No comments: