Saturday, May 31, 2008

Islam Liberal - Bahaya dan Mengancam

Islam Liberal - Bahaya dan Mengancam

(Berikut adalah resolusi Seminar Ancaman Islam Liberal anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dengan kerjasama Gabungan Profesional Kelantan, pada 3 Jun 2006)

Seminar ini dengan tegas merumuskan bahawa fahaman Islam Liberal adalah fahaman dan pemikiran yang jelas bertentangan dengan Islam. Oleh itu, fahaman ini mestilah dihalang malahan dibenteras dari kalangan umat Islam di Malaysia dan di mana jua di dunia ini.

Supaya ummah dapat berwaspada dan menjauhi daripada pengaruhnya, berikut dirumuskan lima penyelewengan utama dalam pemikiran Islam liberal seperti mana yang dibentangkan dalam kertas-kertas seminar kali ini.




Pertama, golongan pemikir Islam liberal adalah golongan yang berpendirian bahawa tidak semua ayat-ayat dalam dalam al-Quran adalah wahyu daripada Allah s.w.t. tetapi terdapat ayat-ayat yang telah dihasilkan sendiri junjungan Nabi Muhammad s.a.w. selain menganggap ia adalah produk budaya Arab. Oleh itu, ayat-ayat-ayat al-Quran bagi golongan Islam liberal hendaklah diedit semula kerana anggapan bahawa bukan semua ayat-ayat tersebut adalah kata-kata Allah. Ini adalah

Kedua, golongan ini menerima konsep pluralisme dalam agama iaitu satu fahaman kepelbagaian agama yang menganggap semua agama adalah sama. Kepada mereka, Islam, Kristian, Yahudi, Budha dan Hinduisme hanya berbeza pada struktur luarannya sahaja tetapi dalamannya sama. Kebenaran itu wujud dalam semua agama kerana semua agama menuju jalan kebenaran.

Ketiga, golongan ini menerima konsep sekularisasi dan sekularisme kerana bagi mereka Islam sendiri bermula dengan proses sekularisasi terlebih dahulu. Salah seorang pemimpin Islam Liberal di Indonesia, Drs Nurcholis Majid (atau Cak Nur) berpegang kepada fahaman ini sejak beliau memimpin mahasiswa lagi. .

Keempat, golongan ini menerima kaedah hermenuetika untuk menafsir al-Quran. Kaedah hermenuetika adalah kaedah mengupas teks Bible ciptaan pemikir Protestant untuk mencari nilai kebenaran dalam Bible dengan berusaha membeza ayat-ayat Tuhan daripada karangan manusia. Kaedah ini tidak boleh diterima bagi penafsiran al-Quran kerana semua isi al-Quran adalah nas yang benar, al-haq dan kalamullah yang terpelihara.

Kelima, pemikir Islam liberal berpegang pada feminisme dan menganggap Islam tidak berlaku adil kerana syariat Islam membezakan wanita dan lelaki Islam. Sebab itulah golongan ini menentang amalan poligami, menentang konsep pembahagian pesaka yang melebihkan kepada anak lelaki, dan menentang syarat masa iddah untuk perempuan sahaja tetapi mahukan iddah juga dikenakan untuk lelaki.

(Implikasi)

Sebagai implikasi kepada fahaman ini, golongan ini bersikap prejudis dan menolak dua dua perkara utama yang berikut dalam Islam:

Pertama, golongan ini menolak autoriti agama yang ada pada fuqaha dan ulama Islam dengan menganggap tidak ada autoriti ulama dalam syariah. Mereka tidak dapat menerima ulama sebagai kata pemutus dalam hal ehwal hukum syara’.

Kedua, sebagai akibatanya, mereka tidak menerima syariah untuk mengatur urusan agama dan kehidupan harian manusia.

(Fakta Sebenar di Indonesia)

Seminar ini juga merumuskan keseriusan keadaan liberalisasi Islam di Indonesia seperti gambaran berikut untuk diambil pengiktibaran oleh semua pihak di Malaysia sama ada kerajaan atau rakyat Islam di Malaysia:.

Pertama, pengaruh Islam liberal kini semakin meluas di Pusat Pengajian Tinggi Islam di Indonesia. Ramai lulusan dan pensyarah dari pusat pengajian tinggi Islam Indonesia termasuk Universitas Islam Negeri (UIN) telah menganut fahaman Islam Liberal.

(Tambahan: Sebagai contoh, buku tulisan Prof Dr Harun Nasution, “Islam Ditinjau dari Berbagai Aspek” menjadi buku wajib bagi mata pelajaran Pengantar Agama Islam untuk setiap mahasiswa UIN. Buku ini mengandungi idea Islam liberal dan telah digunakan lebih daripada 30 tahun. UIN Syarif Hidayatullah Jakarta pula telah mewajibkan mahasiswa program Tafsir Hadis mengambil mata pelajaran hermeneutika.)

Kedua, perluasan pengaruh Islam liberal melalui media massa Indonesia. Idea Islam liberal oleh Nurcholishg Madjid, Abdurrahman Wahid beberapa lagi diberi tempat dalam media.

(Tambahan: Majalah GATRA pada 21 Disember 2002 memuatkan kata-kata Ulil Abshar Abdallah, “Semua agama adalah sama. Jadi, Islam bukan yang paling benar”. Majalah Kompas 18-11, 2002 menyatakan “Semua agama adalah tepat berada pada jalan seperti itu, jalan panjang menuju Maha Benar”.)

Ketiga, perluasan pengaruh melalui Jaringan Islam Liberal (JIL) menggunakan jaringan maya yang semakin popular untuk mempengaruhi generasi muda yang melayari internet. Moto jaringan ini ialah “Islam yang Membebaskan” iaitu membebaskan umat Islam dari pengaruh alam rohani.

(Tambahan: Koordinator JIL ialah Ulil Absar-Abdalla pernah menulis dalam majalah Tempo, edisi 19-25 November 2001, “Islam liberal bisa menerima bentuk negara sekuler …sebab negara sekuler bisa menampung energi kesalehan dan energi kemaksiatan sekaligus”.

Keempat, program bagi penyebaran Islam liberal di Indonesia banyak mendapat tajaan The Asia Foundation Ford secara licik melalui program-program seperti latihan, kajian tentang agama dan kajian tentang isu-isu gender. Institusi-institusi asing ini sebenarnya dibawah pengaruh gerakan zionis antara bangsa.

Saranan Tindakan Ummah di Malaysia pada peringkat Kerajaan dan Rakyat:

  1. Pemikiran Islam liberal di Indonesia menjadi lebih mudah disebarkan kerana perlembagaan Indonesia tidak melindungi Islam. Mengambil pengajaran dari kes Indonesia, kedudukan Islam dalam Perlembagaan Malaysia mestilah dipertahankan malahan, mesti diperkukuhkan. Umat Islam mesti memperjuangkan kedudukan Islam dalam perlembagaan dan undang-undang.

  1. Pihak berkuasa di Malaysia mesti mempastikan idea Islam liberal tidak diberi peluang sama sekali untuk disebarkan di IPT, di sekolah dan dalam masyarakat melalui kawalan undang-undang yang ketat supaya pemikiran dan akidah ummah dapat diselamatkan.

  1. Sebarang penerbitan majalah dan akhbar yang cuba menyebarkan idea Islam liberal mesti disekat oleh undang-undang malahan permit penerbitan mereka perlu dibatalkan. Secara khusus, kerajaan Malaysia perlu mengawasi akhbar berbahasa Inggeri di Malaysia yang mula memberi tempat kepada idea Islam liberal.

  1. Menghalang kemasukan organisasi asing yang cuba menaja program latihan dan diskusi-diskusi antara agama yang boleh mempengaruhi umat Islam secara halus.

  1. Membatalkan organisasi dan pergerakan Interfaith Commission (IFC) yang menyebarkan pemikiran pluralisme agama di Malaysia melalui berbagai aktiviti mereka seperti seminar secara terbuka dalan seumpamanya.

  1. Umat Islam hendaklah digerakkan dan bersatu padu tanpa mengira organisasi awam atau swasta atau fahaman politik, demi mencari strategi dan tindakan segera untuk menyelamatkan akidah ummah.

  1. Pada peringkat individu, setiap Muslim hendaklah meningkatkan penguasaan ilmu Islam dan mengawasi anak-anak dan isteri di bawah tanggungjawab masing-masing agar akidah keluarga Islam dapat dijaga malah dimantapkan lagi.

Penulis Deraf Rosulusi: Mohamad Saidy Ismail

No comments: