Saturday, May 31, 2008

BAGAIMANA BERDAKWAH SECARA BERKESAN


BAGAIMANA BERDAKWAH SECARA BERKESAN

Oleh: Haji Mohamad Saidy bin Haji Ismail

1.0 Dakwah - Satu Perintah, Satu Kemuliaan

Dakwah adalah satu perintah daripada Allah dan melakukan tugas ini adalah satu kemuliaan berdasarkan ayat dalam surah Fussilat: 33:

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang-orang

yang menyeru kepada jalan Allah seraya melaksanakan amal yang

salih dan berkata, “sesungguhnya aku termasuk di dalam golongan

orang-orang Muslim”.

Allah juga mengumumkan kedudukan umat Muhammad sebagai “khairun ummah” kerana mereka melakukan dakwah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah yang mungkar sebagaimana firman Allah dalam surah Ali-`Imran, ayat 110:

“Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dilahirkan bagi manusia

(kerana) kamu menyeru kepada kebaikan dan melarang dari mungkar

serta beriman kepada Allah…”

Berdasarkan nas-nas di atas ternyata dakwah adalah perintah dan bersama perintah ini datangnya kemuliaan untuk manusia itu sendiri. Ia tidak dapat dipisahkan.

2.0 Dalam Realiti Semasa Keperluan Dakwah Semakin Ketara

Realiti semasa menunjukkan masyarakat kita semakin rosak dan peranan pendakwah untuk merobah keadaan ini amat penting. Terlalu banyak statistik yang kita miliki untuk membuktikannya. Faidzul Fahmi bin Isnan (pelajar Diploma Psikologi, Kolej Jaiputra, 2003) menyoal selidik 80 orang remaja bujang berumur 11 hingga 25 tahun yang sedang melepak di bandar Kota Bharu.

Daripada jumlah tersebut, seramai 14 orang telah mengakui pernah melakukan hubungan seks dengan pasangan mereka. Seramai 22 orang pula mengakui memiliki kawan yang pernah melakukan perhubungan seks sebelum nikah. Gejala sosial yang melibat jenayah, dadah, pembuangan bayi, pergaduhan dan budaya lumba haram dll semacam semakin subur dan menjadi-jadi.

Dalam konteks pelajar di IPT, pergaulan bebas, bersekedudukan, meninggalkan kewajipan solat, berpakaian menjolok, menganuti fahaman asing seperti black metal dll telah menjadi fenomena. Siapakah yang akan membendung gejala ini semua?

3.0 Kehancuran Bagi Masyarakat yang Melupakan Dakwah

Allah menggambarkan kemurkaan dan balasan yang berat bagi mereka yang meninggalkan dakwah seperti mana dalam surah al-A`raf ayat 165.

“Dan ketika mereka melupakan apa yang telah diperingatkan

kepada mereka, maka kami selamatkan orang-orang yang menegah

kemungkaran dan Kami timpakan azab yang amat pedih ke atas

orang-orang zalim di atas kefasikan yang mereka lakukan”

Malahan, tidak cukup menjadi orang yang salih sahaja sedang masyarakat berleluasa dengan kemungkaran. Berdasarkan satu hadith riwayat Muslim, Zainab binti Jahsy telah bertanya, “Ya Rasulullah adakah kita akan Allah hancurkan sedangkan bersama kita masih ada orang-orang yang salih?” Jawab baginda, “Ya, apabila berleluasa kekejian”.

4.0 Pendekatan Dakwah yang Berkesan

Apakah pendekatan dakwah yang paling sesuai untuk golongan remaja dan untuk golongan yang berada di pusat pengajian tinggi?

Secara umum, pendekatan dakwah yang terbaik untuk sesiapa pun ialah dengan secara hikmah dan memberi nasihat yang baik. Allah berfirman dalan surah An-Nahl ayat 125:

“Serulah ke jalan Tuhanmu secara hikmah dan dengan nasihat

yang baik. Dan, bantahlah dengan mereka ssecara yang lebih baik”.

Imam Al-Qurtubi menyatakan ayat ini merupakan perintah untuk menyeru manusia kepada agama dan syariat Allah dengan lemah lembut tanpa kebengisan. Hikmah dalam ayat di atas ditafsir oleh mufassirin sebagai hujah yang jelas, mantap dan pendekatan yang bermanfaat dan menyakinkan.

Sementara nasihat yang baik pula bermaksud peringatan yang dapat melembutkan hati. Pendekatan memberi nasihat ini adalah roh bagi ad-din itu sendiri kerana “agama itu adalah nasihat” seperti mana maksud satu hadith.

Dalam konteks sekarang, tergolong dalam maksud hikmah di sini ialah pendekatan dakwah yang strategik (mempunyai objektif yang jelas, strategik dan aktiviti yang terancang) dan kreatif (pendekatan yang mengutamakan daya tarikan dan mengambil kira suasana).

Pendekatan yang strategik dan kreatif inilah membuka dimensi yang amat luas kepada para duat yang memiliki kepakaran dan kreativiti untuk menarik minat masyarakat kepada Islam dan dakwah. Ia seperti ubat yang diselaputi manisan, agar pesakit tidak merasai kepahitan demi kesembuhan daripada penyakit. Islam mengharuskan strategi dan kreativiti dalam dakwah kerana ia adalah alat dan pendekatan bukan matlamat selagi ia tidak bercanggah dengan syariat.

Oleh kerana kehidupan di IPT selalunya ditandai dengan kesibukan dan beban akademik, tekanan rakan sebaya, kepemimpinan pelajar yang sering berganti, konkongan peraturan dan undang-undang, masalah penajaan dan sara hidup dll. para pendakwah semakin dituntut untuk menjadi lebih strategik dan kreatif.

Selain itu, terdapat silap faham tentang anggapan bahawa dakwah seharusnya bermula dengan tangan (kuasa) terlebih dahulu kemudian diikuti dengan nasihat (lisan) dan akhir sekali baru hati. Hadith ini riwayat Muslim bermaksud “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia ubah dengan tanggannya. Jika dia tidak mampu, maka ubahlah dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu, maka ubahlah dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.”

Dalam hal ini, para ulama menegaskan bahawa perintah mencegah kemungkaran dengan tangan ini merujuk kepada ulil amri iaitu mereka yang memiliki kuasa ke atas sesuatu perkara. Di sekolah, ulil amri ialah pengetua, Rektor atau Naib Canselor bagi kolej atau universiti dan akhirnya bapa dan ibu bagi sebuah keluarga.

Dengan ini, jika terdapat kemungkaran di kampus, tanggungjawab mencegah mungkar bagi individu dan kumpulan Islam ialah mencegah dengan lidah melalui amar makruf dan nahi mungkar secara nasihat yang baik. Para penggerak dakwah adalah tidak wajar mengambil tindakan sendiri dengan menangkap, menahan atau membuat tindakan berupa ancaman fizikal tanpa bantuan pihak berwajib.

5.0 Dakwah dan Tarbiyyah

Pendakwah tidak lahir secara kebetulan melainkan mereka mestilah disiapkan melalui proses tarbiyyah. Tarbiyyah membawa makna proses untuk menyemai dan memupuk benih bagailah si petani memupuk dan menjaga benihnya agar tumbuh segar menjadi sepohon pokok yang menghasilkan banyak buah.

Begitu juga tarbiyyah untuk para duah; proses memupuk ilmu, iman, roh, fikrah dan amal mereka sehingga benar-benar mantap. Aktiviti seperti usrah, diskusi ilmu (daurah), qiamullail, outdoor (mukhayyam), zikirullah, tilawatul Quran, puasa sunat dan riadhah adalah bagaikan baja-baja dan siraman air yang sangat berguna untuk menyuburkan tarbiyyah. Para pendakwah yang melalui proses ini akan mencapai kekuatan dan kemampuan. Tarbiyyahlah yang akan menentukan kelansungan dan kejayaan dakwah.

Abu Bakar as-Siddiq telah berpesan kepada panglima-panglima Islam, “perbaikilah dirimu, nescaya orang lain akan memperbaikkan hubungan denganmu”. As-Syeikh Mustafa Masyhur menyebut: “Mulakan dakwah dengan dirimu, kemudian serulah yang lain”.

Oleh yang demikian, setiap pendakwah harus memberikan masa, tenaga dan perngorbanan untuk membina persiapan ini buat bekalan dalam perjuangan dakwah.

Walau bagaimanapun adalah tidak tepat anggapan yang mengatakan bahawa kita seharunya membuat persiapan terlebih dahulu dan tidak seharusnya berjuang tanpa persiapan yang cukup. Sesungguhnya persiapan dan perjuangan adalah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Tatkala kita membuat persiapan terdapat banyak perkara amal bakti dan dakwah boleh kita buat sekaligus memantapkan persiapan itu sendiri.

Begitu juga sebaliknya, tatkala kita berjuang, insan yang merasai dirinya tidak sempurna sentiasa berusaha menyucikan jiwa dengan amal-amal yang berterusan buat mencari kekuatan rohani dan jasmani sepanjang perjuangan.

6.0 Penutup

Demikian perbincangan kita tentang dakwah khasnya untuk penggerak-penggerak di IPT. Kita tidak ada pilihan kerana kemuliaan kita di sisi Allah terletak pada Islam yang kita yakini dan jalan dakwah yang kita pilih. Meninggalkannya bermakna meninggalkan kemuliaan. Semoga Allah memberi petunjuk-Nya dalam setiap urusan kita. Semoga Allah merahmati dan memberkati usaha kita. Amin.

_____________

Rujukan:

  1. Al Quran Karim.
  2. Dr Danial Zainal Abidin, 1995. “Kemahiran Nuqaba dan Naqibat” dalam Bimbingan Tarbiyyah JIM, September, Oktober dan November 1995.
  3. PERGAS, 2004. “Kesederhanaan Dalam Islam (Dalam Konteks Masyarakat Islam Singapura)”. PERGAS Singapura.

Dibentangkan dalam

Perkhemahan KARISMA,

Damai Resort, Melawi, Bachok,

29 Jun 2006,

1 comment:

Anonymous said...

salam..
bagaimana hendak berdakwah dengan orang yang bukan islam, sedangkan kita merasa diri kita juga tidak cukup iman.


daripada
syed saiful
are_pool86@yahoo.com.my