Friday, May 30, 2008

BAGAIMANA MEMIMPIN DENGAN BERKESAN

BAGAIMANA MEMIMPIN DENGAN BERKESAN

Mohamad Saidy bin Ismail

Cyberjaya University College of Medical Sciences

1.0 Setiap Orang adalah Pemimpin

Setiap orang adalah pemimpin kerana tiga sebab:

· Kerana Rasulullah menganggap kita semua pemimpin seperti sabda baginda, “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab terhadap orang di bawah jagaanmu” (HR Bukhari dan Muslim). Ini adalah kepemimpinan dan kepertanggungjawaban terhadap diri dan orang dibawah jagaan kita

· Namun, setiap muslim hari ini juga mesti berusaha untuk memimpin dan mengajak masyarakat / ummah agar mentauhidkan Allah dan menegakkan syariah-Nya. Tatkala tiadanya khilafah Islamiah, tugas dakwah dan kepemimpinan ini adalah tugas bersama di kalangan ummah.

· Secara logik, masyarakat sentiasa mencari pemimpin yang berwibawa kerana negara, organisasi, persatuan, universiti, sekolah, jabatan, masjid dll – memerlukan pemimpin. Pemimpin bertanggungjawab memacu, mengawal, mengurus dan melindungi ahli-ahlinya.



2.0 Siapakah Pemimpin

Para sarjana kepemimpinan pengurusan menakrifkan pemimpin ialah orang yang mampu mempengaruhi dan mengajak ahli organisasi bekerja mencapai matlmat.

Dalam usaha untuk mempengaruhi itu, dia akan menetapkan hala tuju dan kemudian bekerja mengintegrasi (menyatupadukan) dan mengkoordinasikan (menyelaras) kerja-kerja orang lain supaya dapat disempurnakan dengan cekap dan berkesan.

Pemimpin itu berjaya apabila dia berjaya mempengaruhi, membawa dan memacu pengikut kepada objektif dan hala tuju perjuangan seraya menjaga kebajikan dunia dan akhirat mereka.

3.0 Dasar Kepemimpinan Al-Quran

Al-Quran memberi prinsip yang jelas seperti ayat 24 , As-sajdah: “Dan kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami”

Ayat ini menjelaskan tiga sifat / prinsip utama kepemimpinan Islam yang mengajak manusia kepada Allah s.w.t.; iaitu i) memberi petunjuk – membimbing ke arah jalan Allah ii) sabar - kerana memimpin memang tugas berat dan manusia banyak ragam, dan iii) yakin terhadap ayat Allah dan misi / visi perjuangan Islam.

4.0 Rasulullah S.A.W. Suri Teladan Pemimpin

Kepemimpinan Rauslullah adalah terjemahan kepemimpinan daripada al-Quran dan suri teladan untuk ummah sepanjang zaman. Dalam kepemimpinannya mempamerkan qudwah yang berikut:

  • Iman dan amanah yang tinggi kepada Allah s.w.t. (Lihat contoh dakwah Rasulullah biarpun diuji di Mekah; mara ke Thaif dan diuji lagi; kisah Abu Zar)

  • Mempunyai visi dan keyakinan yang jauh (Lihat kisah pembukaan Mekah, impian kepada daulah Islam; dan kisah Suraqah yang dijanjikan gelang Kisra)

  • Amal yang besar dan jihad yang tinggi (Kisah ibadah Rasulullah yang disebut oleh A`isyah; perang Badar 313 vs 1000; kesulitan semasa perang ahzab menggali parit 5000 hasta, satu kumpulan 10 orang gali 40 hasta)

  • Keupayaan memimpin ummah (Kisah tarbiyah, dakwah awalan yang sirri dan terkawal; hijrah yang amat strategik,, penubuhan negara Islam, peperangan, pembukaan Mekah). Skil interaksi, komunikasi, perancangan, membina pasukan dan penglibatan berkesan

5,0 Peranan Pemimpin

5.1 Menyelenggara dan mengekalkan organisasi supaya sentiasa dalam terbaik dan mencapai matlamat.

5.2 Membuat lonjakkan untuk memajukan dan memperkasakan organisasi.

6.0 Skop Tugas Pemimpin

6.1 Tugas strategik – seperti mewujudkan polisi menambahkan sokongan golongan hartawan atau negarawan dalam usaha untuk mendapatkan sumbangan dana atau pengaruh.

6.2 Tugas taktikal – seperti membuat kunjungan hormat secara tahunan kepada hartawan atau negarawan terpilih.

6.3 Tugas operasional – seperti menyiapkan dokumen, bahan dan semua keperluan untuk pembentangan kepada golongan dermawan atau negarawan tersebut.

7.0 Tugas Utama Pemimpin

7.1 Mempengaruhi Ahli-ahli

Dalam melaksanakan tugas ini, pemimpin hendaklah (a) menjelaskan teras dasar dan hala tuju perjuangan organisasi; (b) membetulkan tanggapan-tanggapan yang kurang tepat kepada ahli (c) membina dan menjalinkan hubungan yang mantap berdasarkan tuntutan ukhwah (d) membuktikan kepemimpin melalui qudwa (e) memanfaatkan peluang dalam pertemuan, mesyuarat, latihan, usrah dll bagi tujuan perkongsian perjuangan.

7.2 Membentuk Tingkah Laku Ahli

Untuk tugas ini, pemimpin wajar menimbangkan perkara berikut; (a) memahami masalah dan kehendak ahli melalui ta`ruf dan taawun yang mendalam (b) mengutamakan program-program tarbiah dan latihan bagi membentuk sahsiah, fikrah dan amal (c) mewujudkan dan mengukuhkan saluran komunikasi (d) memberi dokongan, sokongan dan belaian mahabbah kepad ahli.

7.3 Bekerja Mencapai Matlamat Organisasi

Bagi maksud ini, pemimpin wajarlah (a) mewujudkan satu matlamat organisasi yang boleh dikongsikan dan diperjuangkan bersama (b) libatkan ahli-ahli dalam merancang matlamat dan objektif (c) membentuk nilai dan budaya kerja yang disepakati (d) menggembleng dan menggerakkan ahli bekerja bagi mencapai matlamat tersebut.

8.0 Kemahiran yang Diperlukan Pemimpin

8.1 Kemahiran teknikal – kemahiran melakukan sesuatu secara khusus seperti mengajar, mengubat, mengurus, membaiki mesin, membuat akaun dll.

8.2 Kemahiraan kemanusiaan – keupayaaan untuk berkerja bersama-sama dengan insane yang lain; pandai berhubung; pandai mendorong orang lain; memberi semangat dan mendamaikan orang yang berkonflik dll.

8.3 Kemahiran konsepsi – kemahiran untuk berfikir perkara abstrak dan konsep yang tidak dapat disentuh seperti keupayaan melihat organisasi secara keseluruhan; memahami hubungan satu unit dengan unit yang lain; dan hubungan organisasi kita dengan persekitaran.

9.0 Kemahiran untuk Memimpin

Berikut adalah antara bidang kemahiran kemanusiaan yang perlu dikuasai oleh pemimpin bagi gerakan dakwah dan islah dalam masyarakat.

  • Kemahiran Mendidik Manusia. Kemahiran untuk memahami matlamat mendidik manusia; memahami kaedah perubahan insan; kaedah dorongan dan rangsangan; konsep pengajaran dan pembelajaran.

  • Kemahiran Kemnusiaan dan Interpersonal. Keupayaaan untuk berkerja bersama-sama orang lain; pandai berhubung dan mendorong orang lain; memberi semangat dan mendamaikan orang yang berkonflik dll.Kemahiran memahami asas-asas komunikasi;

memahami hubungan antaraperorangan; dan keadah penyampaian dan tutur awam.

  • Kemahiran Pengurusan. Kemahiran menetapkan objektif, merancang, menyusun, memimpin dan mengawal manusia dan kerja; kemahiran membuat keputusan yang sistematik iaitu mencerakin masalah, pelbagaikan alternatif, menilai dan memilih alternatif; serta kemahiran menyesuaikan kaedah kepemimpinan mengikut persekitaran.

  • Kemahiran Menganalisis. Kemahiran melihat sesuatu isu dalam gambaran yang lebih besar; boleh menghubungkan satu unit dengan unit lain; dapat menilai isu / situasi bukan berasaskan suasana tetapi pandangan bersistem (system view); mampu mengenalpasti rentetan bagaimana isu tercetus; boleh mengelaskan antara isu strategik (utama) dengan isu sampingan; keupayaan melihat persamaan dan perbezaan ketika membuat perbandingan.
  • Keupayaan Memberi Alternatif. Yang merangkumi kebolehan mencipta alternatif dengan mengambil kira asas-asas (prinsip), faktor persekitaran serta pelaksanaan; memberi pandangan dan alternatif menurut objektif dan kesesuaian suasana dan wadah.

10.0 Persiapan untuk Menjadi Pemimpin

Pemimpin bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah dengan sebaik-baiknya dan untuk itu bidang persiapan berikut adalah mesti:

  • Persiapan iman dan amal salih. Pemimpin Islam mestilah dibentuk melalui asas iman dan taqwa – iaitu mengerjakan perintah dan meninggalkan larangan Allah; dan tidak mengabaikan tanggungjawab. Iman dan amal perlu dibaja melalui proses tarbiyah yang berterusan.

  • Persiapan Ilmu dan fikrah yang mantap. Kekuatan ilmu dan fikrah diperlukan bagi seseorang pemimpin agar ia mampu mengintegrasikan fikrah yang didukungnya kepada anak-anak buahnya dan masyarakat dengan berkesan.

  • Kemahiran Kemahiran dan Soft Skills. Pemimpin perlu memiliki kemahiran-kemahiran yang disebutkan di atas melalui latihan, pengalaman melalui penglibatan, pendedahan, pergaulan dan pembacaan.

11.0 Rumusan

Kepemimpinan bukan mengenai kedudukan dan keistimewaan tetapi tugas dan tanggungjawab yang akan disoal oleh Allah di akhirat. Oleh itu mengelakkan diri daripada tanggungjawab ini adalah sesuatu yang tidak dibenarkan seperti mana tidak dibenarkan meminta-minta untuk memimpin. Apabila kepemimpinan telah diberikan, menjadi tanggungjawab untuk melaksanakannya dengan cara yang paling baik.

-----

Bibliografi:

1. Al-Quran Karim.

2. S.Abul A`la Maududi, “Khilafah dan Kerajaan” (terjemahan).

3.. Muhammad Haniff Hassan, 2004. “Fiqh Dakwah Dalam al-Quran”.

4. Dr Danial Zainal Abidin, 2005. “Tip-tip Cemerlang daripada Quran”.

5. Saari Sungib, 1993. “Beberapa Aspek Pengurusan dalam Organisasi Islam” dan “Wacana Kepemimpinan Islam” (2004)

Nota Tambahan: Abul A`la Maududi (dalam Khilafah dan Kerajaan) menyatakan empat sifat pemimpin Islam seperti dalam konteks ulil amri:

i. Berkepercayaan dan Bertanggungjawab – iaitu orang yang dipercayai dan boleh memikul tanggungjawab seperti dalil dalam al ‘Imran, 118, at- Taubah, 16 dan an-Nisa’ 59):

: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu, orang-orang yang di luar kalanganmu…” (surah al ‘Imran, 118)

ii. Mukmin yang bertakwa dan Beramal Salih – dan tidak boleh di kalangan orang zalim dan fasik. Seperti mana dalam surah al-Baqarah, 124, al-Syu`araa, 151,152; al-hujurat, 13)

iii. Orang-orang Berilmu dan Berakal Cerdas – dan tidak boleh terdiri daripada orang yang dungu / lemah pemikiran seperti mana ayat dalam al-Baqarah, 247; Saad, 20, Yusuf, 55)

iv. Beramanah supaya tanggungjawab dapat diserahkan kepadanya dengan aman dan tanpa keraguan seperti dalil ayat dalam an-Nisa’, 58.

2 comments:

mohad said...

saya setuju dengan cikgu tu..

Anonymous said...

saya bangkang ijad...