Saturday, May 31, 2008

Rasulullah Suri Teladan Kepemimpinan


Rasulullah Suri Teladan Kepemimpinan

Oleh Mohamad Saidy bin Ismail

Cyberjaya University College of Medical Sciences

1.0 Manusia Memerlukan Pemimpin

  • Setiap negara, syarikat, sekolah, universiti, persatuan dan apapun organisasi manusia - semuanya memerlukan pemimpin. Pemimpin bertanggungjawab mengawal, mengurus, membuat keputusan dan mempamerkan contoh kepada anak-anak buahnya.

  • Pemimpin yang baik dan berjaya selalunya dikaitkan dengan mereka yang mengambil berat kebajikan orang yang dipimpin; membawa mereka kepada objektif perjuangan dan memiliki visi dan misi perjuangan yang jelas.

2.0 Kepemimpinan Menurut Al-Quran

Oleh kerana kepemimpinan adalah aktiviti manusia yang penting, al-Quran memberi garis panduan dan prinsip yang jelas seperti ayat 24 dalam surah as-sajdah:

“Dan kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami”

  • Ayat ini menjelaskan tiga sifat / prinsip utama kepemimpinan Islam yang mengajak manusia kepada Allah s.w.t.; iaitu i) memberi petunjuk ii) sabar iii) yakin terhadap apa yang diperjuangkan.

  • Memberi petunjuk bermaksud membimbing manusia ke arah petunjuk yang diturunkan Allah dengan menunjuk jalan kepada manusia (dan bukan memimpin tangannya sepanjang jalan). Sabar pula tuntutan utama kerana memimpin manusia adalah tugas berat; manusia banyak ragam, mencabar dan berubah-ubah. Yang membolehkan pemimpin bersabar ialah keyakinannya terhadap misi / visi perjuangan dan ayat Allah.

3.0 Rasulullah adalah Suri Teladan Pemimpin

Rasulullah s.a.w telah menterjemahkan pada dirinya maksud kepemimpinan yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Kecemerlangan kepemimpinan Rauslullah adalah suri teladan untuk ummah sepanjang zaman. Dalam kepemimpinannya terserlah kehebatan berikut:

  • Iman dan amanah yang tinggi kepada Allah s.w.t. (Lihat contoh dakwah Rasulullah biarpun diuji di Mekah; mara ke Thaif dan diuji lagi; kisah Abu Zar)

  • Mempunyai visi dan keyakinan yang jauh (Lihatlah kisah pembukaan Mekah, impian kepada daulah Islam; dan kisah Suraqah yang dijanjikan gelang Kisra)

  • Amal, jihad dan pengorbanan yang tinggi (Kisah ibadah Rasulullah yang disebut oleh A`isyah; ksiah perang Badar 313 vs 1000; perang ahzab menggali parit 5000 hasta, satu kumpulan 10 orang gali 40 hasta)

  • Keupayaan mengawal dan mengendalikan ummah (Kisah dakwah pada awal Nubuwwah yang sirri; kisah hijrah yang amat strategik dan terkawal; dan, penubuhan negara Islam di bawah kepemimpinannya)

  • Keupayaan menyampaikan dakwah. Baginda komunikator, psikologis dan kaunselor yang berkesan (Kisah kemampuan berkomunikasi dengan lisan dan lisanul hal (tanpa lisan); cara baginda menjawab soalan sahabat berbeza keadaan / audien; dll)

4.0 Bidang Persiapan untuk Menjadi Pemimpin

Sebagai penerus risalah dan pemimpin dalam bidang masing-masing, kita bertanggungjawab melaksanakan amanah memimpin dan perlu membuat persiapan dan mencari kemahiran berikut.

  • Persiapan iman dan amal salih. Pemimpin Islam mestilah dibentuk melalui asas iman dan taqwa. Asas kepada iman dan taqwa ialah mengerjakan perintah dan meninggalkan larangan Allah; tidak terjerumus dalam dosa; tidak mensia-siakan hak orang lain; tidak mengabaikan tanggungjawab. Iman dan amal perlu dibaja melalui proses tarbiyah yang berterusan.

  • Persiapan Ilmu dan fikrah yang mantap. Kekuatan ilmu dan fikrah diperlukan bagi seseorang pemimpin agar ia mampu mengintegrasikan fikrah yang didukungnya kepada anak-anak buahnya dan masyarakat dengan berkesan.

  • Kemahiran Mengurus Organisasi / Skil Kemanusiaan. Pemimpin perlu memiliki kemahiran mengurus, mendidik manusia; kemahiran interpersonal dan komunikasi; kemahiran pengurusan dan kemahiran menganalisis serta keupayaan memberi penyelesaian kepada masalah. Kesemua kemahiran ini perlu dipelajari dan dikembangkan melalui pembacaan dan pengalaman.

5.0 Rumusan

Kepemimpinan bukan mengenai kedudukan dan keistimewaan tetap tugas dan tanggungjawab yang akan disoal oleh Allah di akhirat. “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab terhadap orang di bawah jagaanmu” (HR Bukhari dan Muslim).

Rujukan:

1. Muhammad Haniff Hassan, 2004. “Fiqh Dakwah Dalam al-Quran”.

2. Dr Danial Zainal Abidin, 2005. “Tip-tip Cemerlang daripada Quran”.

3. Saari Sungib, 1993. “Beberapa Aspek Pengurusan dalam Organisasi Islam”

______________________

Dibentangkan kepada pelajar Maahad Rahmaniah Kuala Krai pada 27 Januari 2008.

1 comment:

صلح الدين ن said...

as-salamu'alaikum,

Encik Saidy, izinkan ana meletakkan artikel ini di blog ana?

jazakumullahu khair.