Friday, December 25, 2009

Mengapa Kerajaan Mesti Mengembalikan Royalti Rakyat

Oleh Mohamad Saidy Ismail,

Exco GEGAR (Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat)

Mengapa Perlu GEGAR

Pada awal bulan Disember lalu, Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR) sebuah majlis NGO dilancarkan mencetuskan kesedaran rakyat dan menuntut kerajaan mengembalikan royalti minyak kepada rakyat yang berhak.

GEGAR wajar sekali mendesak Kerajaan Malaysia untuk segera menunaikan janji dan tanggungjawabnya untuk membayar wang tunai kepada kerajaan di negeri-negeri dari mana minyak telah dikeluarkan untuk kebaikan dan manfaat rakyatnya.

Enam Sebab Utama

Terdapat enam sebab mengapa kerajaan mesti mengembalikan royalti kepada rakyat melalui kerajaan negeri yang daripadanya minyak dikeluarkan.

Pertama, perjanjian yang telah ditandatangani antara Menteri-menteri Besar bagi negeri-negeri di Semenanjung pada tahun 1975 dengan Pengerusi PETRONAS ketika itu, iaitu YM Tengku Razaleigh Hamzah adalah sah dan PETRONAS adalah terikat kepada perjanjian ini.

Bagi negeri Kelantan, perjanjian telah ditandatangani antara Menteri Besar ketika itu, Datuk Mohammad Nasir dengan Pengerusi PETRONAS. Perjanjian ini telah mengikat kerajaan Persekutuan untuk memberi royalti kepada kerajaan Kelantan sebanyak 5% setahun – dan dibayar tunai dua kali setahun. Perjanjian ini tidak pernah dibatalkan.

Kedua, Akta Kemajuan Petroleum 1974 seksyen 4 telah menetapkan supaya Perbadanan (PETRONAS) hendaklah membuat apa-apa pembayaran wang tunai kepada kerajaan negeri sebagai balasan bagi pemunyaan dan hak bagi negeri tersebut. Berasaskan peruntukan ini, penganugerahan wang tunai kepada negeri-negeri yang perairannya mempunyai minyak telah dibuat sejak dahulu.

Ketiga, kenyataan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib bahawa negeri Kelantan dan Terengganu tidak layak untuk mendapat royalti petroleum kerana petroleum yang dikeluarkan adalah dari luar kawasan perairan negeri-negeri ini (luar states territorial waters’ – ukuran melebihi tiga batu nautikal seperti dalam Akta Pelantan Benua 1966) adalah tidak tepat dan tida relevan dalam konteks pengeluaran minyak dan pembayaran royalti ini.

Sebagai contoh, perjanjian yang telah ditandatangi oleh Menteri Besar Kelantan pada tahun 1975 dengan Pengerusi PETRONAS tidak menetapkan perkara ini sebagai syarat. Malah, berdasarkan hansard soal jawab Parlimen bertarikh 12 November 1975, Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Razak ketika menjawab soalan di Parlimen menjelaskan bahawa mengikut perjanjian, tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi di negeri masing-masing sama ada yang diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut.

Dari segi sejarah, pembayaran royalti minyak kepada kerajaan Terengganu telah dibuat walaupun pelantar cari gali minyaknya berada di luar dari tiga batu nautika. Pelantar minyak negeri Terengganu terletak 220 kilometer di Perairan Laut China Selantan sedangkan pelantar minyak di Kelantan terletak 170 kilometer di Zon Ekonomi Eksklusif yang diusahakan antara Petronas dengan kerajaan Thailand di Laut China Selatan / Teluk Siam.

Keempat, pembayaran yang sepatunya adalah royolti dan bukan wang ihsan. Perjanjian pada 1975 itu menyebut pembayaran wang tunai dan bukan wang ihsan. Wang ihsan dan royalti adalah berbeza kerana wang ihsan memberi makna pemberiaan simpati sedang wang royalti adalah wang yang mesti dibayar hasil daripada perjanjian dan perundingan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Wang royalti hendaklah dibayar kepada kerajaan yang mentadbir secara sah di sesebuah negeri berkenaan. Sebaliknya, pembayaran wang ihsan kepada jabatan persekutuan yang beroperasi di negeri akan membuka peluang kepada pembaziran, pertindihan dan penggunaan wang secara tidak optimum kerana perancangan dan pembangunan untuk rakyat di negeri adalah dipimpin oleh kerajaan negeri.

Kelima, Kerajaan Persekutuan mestilah secara adil menegakkan konsep federalisme (Persekutuan) kepada semua negeri di Malaysia. Konsep federalism menekankan kepentingan hubungan yang harmoni dan berkesan antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri setelah bidang kuasa kerajaan pusat dan kerajaan negeri ditetapkan dalam perlembagaan negara.

Dalam amalan federalism, negeri yang berada dalam persekutuan diberikan kuasa autonomi untuk membolehkan mereka mentadbir urus di bawah bidang kuasa mereka dengan berkesan. Melalui perhubungan yang jelas, baik dan terjamin inilah pembangunan untuk kepentingan rakyat dapat diusahakan dengan berkesan.

Dalam konteks ini, pemberian wang royalti oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri adalah bukti penegakan konsep federalism kerana kerajaan negeri berhak untuk merancang dan menentukan penggunaan wang royalti untuk kepentingan rakyat negeri berdasarkan bidang kuasa negeri.

Keenam, kerajaan persekutuan seharusnya membayar wang royalti kepada rakyat dengan segera kerana aktiviti pengeluaran minyak daripada perairan Kelantan telah ditemui dan dikeluarkan sejak beberapa tahun walaupun tidak diumumkan lebih awal ketika minyak mula diusahakan daripada perairannya.

Sebagai contoh, pelantar minyak yang diberi nama Pelantar Bunga Raya, Pelantar Cakerawala (1,1A, 2,3) dan Pelantar Bintang adalah bersempadan dengan negara Thailand, dan sudah tentu ia berada dekat perairan Kelantan dan tidak berada dalam perairan negeri Terengganu. Pelantar ini hasil usaha antara Lembaga Petroleum Thailand dengan PETRONAS Carigali (50 %) dan Triton Oil Thailand (50 %) bagi mengeluarkan 290,000 mm cfpd gas. Pengeluaran minyak telah diusahakan sejak perjanjian pada Disember 2002.

Kesemua fakta dan hujah di atas menunjukkan kerajaan Persekutuan tidak ada pilihan melainkan membyar royalti kepada kerajaan negeri yang berkenaan yang seharusnya menggunakannya dengan sebaik-baik untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat jelata.

24 Disember 2009

1 comment:

Azlan Khalili said...

Akh Saidy,

Dr. Azlan Khalili Shamsuddin dari Shah Alam sini. Ana tulis kat anta mengenai sebuah universiti baru kepunyaaan billionwan Tan Sri Syed Mokhtar al Bukhary yg. bernama Al Bukhary International University akan dibuka tidak berapa lama lagi. Anan telah ditemuduga utk jadi Dean of the School of Social Sciences...insyallah sekiranya ditawarkan jawatan itu ana akan buka 10 department dalam School berkenaan Ana tulis kat nata meninjau kemungkinan anta menjadi tenaga pengajar di sini dalam bidang "management" dan "media and politics". Harap dapat jawap kat e-mail ana pm_aks@yahoo.com. Hp 0196236264.

Dr. Azlan Khalili Shamsuddin Shah Alam