Monday, February 23, 2009

Ketegasan Erdogan Di Tengah Kelesuan Pemimpin Arab

Ketegasan Erdogan

Di Tengah Kelesuan Pemimpin Arab

Oleh Mohamad Saidy Ismail

Berbeza dengan pemimpin negara Arab, pemimpin negara Turki dan Iran adalah lebih berani menyatakan pendirian tanpa berdolak dalik demi keadilan untuk rakyat Palestin.

Tahniah kepada Tuan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang meninggalkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland pada 30 Januari lalu. Ada masanya pemimpin umat Islam mesti berani dan tegas ketika penduduk Gaza diserang melampaui batas.

Memang wajar Erdorgan bangun meninggalkan forum tersebut setelah dihalang meneruskan ucapan mengutuk pencerobohan Israel sedangkan Presiden Israel, Shimon Peres sebelum itu diberikan masa yang cukup memberi kewajaran tenteranya menyerang Gaza.

Seperti yang dilaporkan media, golongan elit politik dan tokoh perniagaan Barat memberi tepukan menyokong ucapan Presiden Israel dalam forum itu. Amat prejudis sikap mereka sama seperti pengerusi sesi yang berat sebelah, David Ignatius, wartawan Washington Post itu.

Biar apapun, umat Islam patut berbangga dengan Erdorgan. Nampaknya pemimpin Islam kalangan bukan Arab jauh lebih tegas membela nasib Palestin berbanding pemimpin negara Arab yang mudah tunduk kepada kemahuan Barat. Arab Saudi sendiri tidak dapat menentukan pendiriannya yang tegas ketika Israel mula melakukan serangan biadap mereka ke atas Gaza pada akhir Disember lalu.

Di kalangan orang Islam sering disoalkan, mengapakah bangsa Arab yang ratusan juta itu tidak dapat mengalahkan regim Zionis Israel yang lebih kecil? Realitinya, ini bukanlah situasi di mana regim Israel berada di satu pihak dan dan negara-negara Arab di pihak yang lain.

Hakikatnya, Israel menjadi kuat kerana bersamanya terdapat beberapa negara Arab yang secara terbuka dan tersembunyi memberi bantuan. Sesungguhnya, Israel sukar bertindak seperti sekarang tanpa sokongan negara-negara Arab ini, selain Amerika Syarikat.

Seperti yang disebut oleh penulis seperti Dr Abbas Bakhtiar, kerajaan Mesir dan Jordan mempunyai kolaborasi dengan Israel secara terbuka sambil kerajaan Arab Saudi, UAE dan Kuwait pula menyokong Israel secara senyap.

Sesungguhnya, selepas 30 tahun berkolaborasi dengan Israel, pemimpin negara Arab seperti Mesir, Jordan dan Saudi Arabia tidak akan bersuara dan bertindak tegas kerana mereka mempunyai terlalu banyak kepentingan; yang dijaga oleh Amerika Syarikat dan Britain. Amerika Syarikat pula adalah pihak yang akan menambahkan senjata regim Israel setiap kali senjata mereka musnah ketika memerangi Palestin.

Sebab kepada kolaborasi dengan Israel mungkin banyak tetapi satu yang sama ialah kesemua pemimpin negara Arab ini adalah pemimpin yang tidak demokratik dan tidak popular di kalangan rakyat. Mereka memerlukan pelindungan barat dari tekanan rakyat sendiri demi menjaga kedudukan dan tapak kuasa.

Kemenangan popular Hamas dalam pilihanraya amat menakutkan pemimpin negara Arab kerana ia boleh menyuntik idea kebangkitan massa melalui sokongan ummah yang popular. Selain itu, Hamas membawa wawasan Islam, tidak tunduk pada Barat dan tidak korup seperti Fatah.

Di sinilah terletak sebab sebenar mengapa pergerakan Hamas perlu dibinasakan. Sebab itu, sebaik sahaja Hamas memenangi pilihanraya, Amerika dan negara Eropah meletakkan sekatan ekonomi dan memanggil Hamas penganas. Israel menutup sempadan dan menyekat kemasukan bantuan.

Perkara yang tidak disebut oleh media ialah semua tindakan ini dilakukan dengan pengetahuan dan restu kerajaan Saudi, Mesir dan Jordan. Malahan, Mesir turut menyekat kemasukan bantuan.

Mengapa negara jiran seperti Mesir tidak membuka sempadan Rafah untuk menyelamatkan rakyat Gaza ketika diserang Israel?

Bacalah laporan dari Aljazeera.net, Pasukan Palang Merah Antarabangsa dll. betapa misi bantuan dan ribuan sukarelewan dari negara luar diberikan halangan oleh Mesir daripada memasuki Gaza melalui Rafah. Sukarelewan Mesir di sempadan dihantar pulang. Kapalterbang kargo Iran dengan ubat dan makanan telah disekat di Mesir daripada memunggah bekalan ke Gaza.

Tentang bantuan 1 billion USD kepada Gaza dari Kerajaan Arab Saudi, seperti kata Presiden bagi Palestine Centre of Excellence (PACE), Profesor Madya Dr Hafidzi Mohd Nor, bantuan tersebut adalah cubaan untuk menutup kelemahan Arab Saudi. Bantuan tersebut tidak mungkin dapat membeli rasa hormat rakyat Gaza dan umat Islam kepada mereka yang tidak dapat menentukan pendirian yang tegas tatkala Israel menyerang Gaza.

Oleh kerana “ad-din itu adalah nasihat” seperti maksud hadith sahih Imam Bukhari, izinkan saya memberi sedikit maklum balas umum untuk pemimpin negara-negara Arab ini.

Apa yang berlaku di Palestin adalah seperti teori Newton’s Third Law of Motion. Setiap tindakan atau tekanan yang dikenakan akan diikuti oleh tindakbalas yang sama. Jika anda menceroboh dan mendera manusia, mangsa akan bertindak balas untuk mempertahankan dirinya. Begitu juga akan berlaku di mana-mana negarapun, jika aspirasi rakyatnya yang baik tidak dipedulikan atau diberi tekanan, mereka satu hari nanti akan bangkit jua.

1 comment:

Anonymous said...

a very good review about wut happend in dis world lately..

May Allah strengthen your iman and taqwa so that you can proceed the da'wah till ur last drop.

aMIN

waladuk fi CUCMS