Wednesday, June 11, 2008

Kepemimpin adalah Tugas bukan Kedudukan

Kepemimpinan bukan mengenai kedudukan dan keistimewaan tetapi tugas dan tanggungjawab yang akan disoal oleh Allah di akhirat. Oleh itu mengelakkan diri daripada tanggungjawab ini adalah sesuatu yang tidak dibenarkan seperti mana tidak dibenarkan meminta-minta untuk memimpin. Apabila kepemimpinan telah diberikan, menjadi tanggungjawab untuk melaksanakannya dengan cara yang paling baik.

Persiapan untuk Menjadi Pemimpin

Pemimpin bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah dengan sebaik-baiknya dan untuk itu bidang persiapan berikut adalah mesti:

  • Persiapan iman dan amal salih. Pemimpin Islam mestilah dibentuk melalui asas iman dan taqwa – iaitu mengerjakan perintah dan meninggalkan larangan Allah; dan tidak mengabaikan tanggungjawab. Iman dan amal perlu dibaja melalui proses tarbiyah yang berterusan.

  • Persiapan Ilmu dan fikrah yang mantap. Kekuatan ilmu dan fikrah diperlukan bagi seseorang pemimpin agar ia mampu mengintegrasikan fikrah yang didukungnya kepada anak-anak buahnya dan masyarakat dengan berkesan.

  • Kemahiran Kemahiran dan Soft Skills. Pemimpin perlu memiliki kemahiran-kemahiran yang disebutkan di atas melalui latihan, pengalaman melalui penglibatan, pendedahan, pergaulan dan pembacaan.

Kemahiran Lanjutan untuk Memimpin

Berikut adalah antara bidang kemahiran lanjutan yang perlu dikuasai oleh pemimpin bagi gerakan dakwah dan islah dalam masyarakat.

  • Kemahiran Mendidik Manusia. Kemahiran untuk memahami matlamat mendidik manusia; memahami kaedah perubahan insan; kaedah dorongan dan rangsangan; konsep pengajaran dan pembelajaran.

  • Kemahiran Kemanusiaan dan Interpersonal. Keupayaaan untuk berkerja bersama-sama orang lain; pandai berhubung dan mendorong orang lain; memberi semangat dan mendamaikan orang yang berkonflik dll.Kemahiran memahami asas-asas komunikasi;

memahami hubungan antaraperorangan; dan keadah penyampaian dan tutur awam.

  • Kemahiran Pengurusan. Kemahiran menetapkan objektif, merancang, menyusun, memimpin dan mengawal manusia dan kerja; kemahiran membuat keputusan yang sistematik iaitu mencerakin masalah, pelbagaikan alternatif, menilai dan memilih alternatif; serta kemahiran menyesuaikan kaedah kepemimpinan mengikut persekitaran.

  • Kemahiran Menganalisis. Kemahiran melihat sesuatu isu dalam gambaran yang lebih besar; boleh menghubungkan satu unit dengan unit lain; dapat menilai isu / situasi bukan berasaskan suasana tetapi pandangan bersistem (system view); mampu mengenalpasti rentetan bagaimana isu tercetus; boleh mengelaskan antara isu strategik (utama) dengan isu sampingan; keupayaan melihat persamaan dan perbezaan ketika membuat perbandingan.
  • Keupayaan Memberi Alternatif. Yang merangkumi kebolehan mencipta alternatif dengan mengambil kira asas-asas (prinsip), faktor persekitaran serta pelaksanaan; memberi pandangan dan alternatif menurut objektif dan kesesuaian suasana dan wadah

Kemahiran yang Diperlukan Pemimpin

    • Kemahiran teknikal – kemahiran melakukan sesuatu secara khusus seperti mengajar, mengubat, mengurus, membaiki mesin, membuat akaun dll.

    • Kemahiraan kemanusiaan – keupayaaan untuk berkerja bersama-sama dengan insane yang lain; pandai berhubung; pandai mendorong orang lain; memberi semangat dan mendamaikan orang yang berkonflik dll.

    • Kemahiran konsepsi – kemahiran untuk berfikir perkara abstrak dan konsep yang tidak dapat disentuh seperti keupayaan melihat organisasi secara keseluruhan; memahami hubungan satu unit dengan unit yang lain; dan hubungan organisasi kita dengan persekitaran.

Tugas Utama Pemimpin


  • Mempengaruhi Ahli-ahli

Dalam melaksanakan tugas ini, pemimpin hendaklah (a) menjelaskan teras dasar dan hala tuju perjuangan organisasi; (b) membetulkan tanggapan-tanggapan yang kurang tepat kepada ahli (c) membina dan menjalinkan hubungan yang mantap berdasarkan tuntutan ukhwah (d) membuktikan kepemimpin melalui qudwa (e) memanfaatkan peluang dalam pertemuan, mesyuarat, latihan, usrah dll bagi tujuan perkongsian perjuangan.


  • Membentuk Tingkah Laku Ahli

Untuk tugas ini, pemimpin wajar menimbangkan perkara berikut; (a) memahami masalah dan kehendak ahli melalui ta`ruf dan taawun yang mendalam (b) mengutamakan program-program tarbiah dan latihan bagi membentuk sahsiah, fikrah dan amal (c) mewujudkan dan mengukuhkan saluran komunikasi (d) memberi dokongan, sokongan dan belaian mahabbah kepad ahli.

  • Bekerja Mencapai Matlamat Organisasi

Bagi maksud ini, pemimpin wajarlah (a) mewujudkan satu matlamat organisasi yang boleh dikongsikan dan diperjuangkan bersama (b) libatkan ahli-ahli dalam merancang matlamat dan objektif (c) membentuk nilai dan budaya kerja yang disepakati (d) menggembleng dan menggerakkan ahli bekerja bagi mencapai matlamat tersebut.

Peranan dan Skop Tugas Pemimpin

    • Menyelenggara dan mengekalkan organisasi supaya sentiasa dalam terbaik dan mencapai matlamat.

    • Membuat lonjakkan untuk memajukan dan memperkasakan organisasi.


Skop Tugas Pemimpin

    • Tugas strategik – seperti mewujudkan polisi menambahkan sokongan golongan hartawan atau negarawan dalam usaha untuk mendapatkan sumbangan dana atau pengaruh.
    • Tugas taktikal – seperti membuat kunjungan hormat secara tahunan kepada hartawan atau negarawan terpilih.
    • Tugas operasional – seperti menyiapkan dokumen, bahan dan semua keperluan untuk pembentangan kepada golongan dermawan atau negarawan tersebut.

Rasulullah s.a.w. Suri Teladan Pemimpin

Kepemimpinan Rasulullah s.a.w. adalah terjemahan kepemimpinan daripada al-Quran dan suri teladan untuk ummah sepanjang zaman. Dalam kepemimpinannya mempamerkan qudwah yang berikut:

  • Iman dan amanah yang tinggi kepada Allah s.w.t. (Lihat contoh dakwah Rasulullah biarpun diuji di Mekah; mara ke Thaif dan diuji lagi; kisah Abu Zar)

  • Mempunyai visi dan keyakinan yang jauh (Lihat kisah pembukaan Mekah, impian kepada daulah Islam; dan kisah Suraqah yang dijanjikan gelang Kisra)

  • Amal yang besar dan jihad yang tinggi (Kisah ibadah Rasulullah yang disebut oleh A`isyah; perang Badar 313 vs 1000; kesulitan semasa perang ahzab menggali parit 5000 hasta, satu kumpulan 10 orang gali 40 hasta)

  • Keupayaan memimpin ummah (Kisah tarbiyah, dakwah awalan yang sirri dan terkawal; hijrah yang amat strategik,, penubuhan negara Islam, peperangan, pembukaan Mekah). Skil interaksi, komunikasi, perancangan, membina pasukan dan penglibatan berkesan

Dasar Kepemimpinan Al-Quran

Al-Quran memberi prinsip kepemimpinan yang jelas seperti ayat 24 , As-sajdah: “Dan kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami”

Ayat ini menjelaskan tiga sifat / prinsip utama kepemimpinan Islam yang mengajak manusia kepada Allah s.w.t.; iaitu i) memberi petunjuk – membimbing ke arah jalan Allah ii) sabar - kerana memimpin memang tugas berat dan manusia banyak ragam, dan iii) yakin terhadap ayat Allah dan misi / visi perjuangan Islam.

Setiap Muslim adalah Pemimpin

Setiap Muslim adalah pemimpin kerana tiga sebab:

· Kerana Rasulullah menganggap kita semua pemimpin seperti sabda baginda, “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab terhadap orang di bawah jagaanmu” (HR Bukhari dan Muslim). Ini adalah kepemimpinan dan kepertanggungjawaban terhadap diri dan orang dibawah jagaan kita

· Namun, setiap muslim hari ini juga mesti berusaha untuk memimpin dan mengajak masyarakat / ummah agar mentauhidkan Allah dan menegakkan syariah-Nya. Tatkala tiadanya khilafah Islamiah, tugas dakwah dan kepemimpinan ini adalah tugas bersama di kalangan ummah.

· Secara logik, masyarakat sentiasa mencari pemimpin yang berwibawa kerana negara, organisasi, persatuan, universiti, sekolah, jabatan, masjid dll – memerlukan pemimpin. Pemimpin bertanggungjawab memacu, mengawal, mengurus dan melindungi ahli-ahlinya.

Siapakah Pemimpin

Para sarjana kepemimpinan pengurusan menakrifkan pemimpin ialah orang yang mampu mempengaruhi dan mengajak ahli organisasi bekerja mencapai matlmat.

Dalam usaha untuk mempengaruhi itu, dia akan menetapkan hala tuju dan kemudian bekerja mengintegrasi (menyatupadukan) dan mengkoordinasikan (menyelaras) kerja-kerja orang lain supaya dapat disempurnakan dengan cekap dan berkesan.

Pemimpin itu berjaya apabila dia dapat mempengaruhi, membawa dan memacu pengikut kepada objektif dan hala tuju perjuangan seraya menjaga kebajikan dunia dan akhirat mereka.

Friday, June 6, 2008

9 PANDUAN MENCAPAI KECEMERLANGAN

1. Memahami objektif anda. Miliki matlamat dan fahami objektif yang ingin anda capai. Visualkan matlamat dalam fikiran dan lakarkan supaya ia dapat dilihat. Draw your route to success! Sediakan diri untuk menjadi yang terbaik dalam setiap perkara yang anda ceburi. Jangan cepat mengalah kepada desakan keliling mengenai apa yang belum anda capai.

2. Bina kekuatan, baiki kekurangan. Insafi kedua-duanya dalam diri anda pada satu masa. Check it yourselves or through friends! Bina kecemerlangan berdasarkan kekuatan, sambil diam-diam baiki kekurangan. Anda tidak akan diterima sebagai manusia yang berwibawa jika orang melihat anda sentiasa keluh kesah.

3. Bekerja dalam pasukan. Pasukan membuka peluang kepada perkongsian. Perkongsian mengumpulkan pengalaman, ilmu, hikmah, tenaga, idea dan kasih sayang dll. Sebaliknya, permusuhan adalah resipi kegagalan kerana di dalamnya ada barah, api, dengki, dendam dsbnya. Bergabunglah dengan manusia yang baik.

4. Memberi membuka pintu rezqi.
Menolong orang yang memerlukan adalah pembuka pintu kepada segala kecemerlangan dan rezqi tanpa disedari. Mendoakan kebaikan orang tanpa pengetahunnya adalah pembawa kebaikan untuk sendiri seperti mana membantu mengajar orang lain akan memantapkan ilmu pengajar itu sendiri. Jadilah pemberi yang memberi dengan hati yang tersenyum.

5. Jangan patah hati dengan kritikan.
Orang yang cemerlang pandai membezakan jenis kritikan. Dia belajar menerima teguran yang membina dan tidak menghiraukan kritikan yang remeh. Anda perlu sedar tidak mungkin semua orang bersetuju dengan anda dalam semua perkara.

6. Kompetitif dengan kemahiran baru. Teruskan memperluaskan ilmu, kemahiran dan pengalaman baru. Profesional yang hanya berkhayal di atas kehebatannya pada masa yang lalu tidak akan mengembangkan apa yang telah dicapai dan akhirnya menjadi beku.

7. Tetap merendah diri. Ini pemangkin kepada persahabatan dan penerimaan. Tetapi anda mesti tahu membezakan antara sikap merendah diri yang sebenar dengan yang tidak kena tempat. Jika anda percaya anda boleh menyumbang untuk kumpulan, mengapa anda asyik mengata anda tidak mampu!

8. Tingkatkan iman dan integriti. Iman adalah keperluan konstan dalam hidup. Tetapi iman dicapai tidak secara kebetulan melainkan ia dipupuk dan dibajai. Rancanglah usaha membina iman dan integriti. Iman yang hidup pula hendaklah diterjemahkan menjadi amalan harian

9. Yang bersyukur akan ditambah. Bersyukurlah kepada Allah di atas apa yang Dia berikan kepada anda atau apa yang Dia ambil daripada anda. Sentiasalah benar dalam ikhlas anda kepada-Nya. Sesiapa yang bersyukur atas rezki yang dinikmatinya, Allah akan menambahnya lagi.